Empat Daerah Di Sabah Kekal Catat Kes Tinggi Covid-19

KOTA KINABALU: Sabah kembali mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 dengan 237 kes dan empat kematian dilaporkan semalam (Sabtu).

Kumpulan empat serangkai iaitu Kota Kinabalu, Tuaran, Ranau dan Papar kekal mencatatkan kes positif tertinggi.

Jika dilihat sebanyak 41 kes dilaporkan di Kota Kinabalu, 23 kes di Tuaran dan Papar mencatatkan 19 kes.

Selain Papar, dua lagi daerah turut mencatatkan 19 kes positif iaitu Penampang dan Kota Belud.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, setelah mencatatkan penurunan kes selama beberapa hari, kes hari ini kembali meningkat dengan tambahan 71 kes.

Beliau berkata, hari ini, lima daerah berada dalam zon kuning, empat daerah dalam zon jingga dan 18 daerah masih berada dalam zon merah iaitu daerah yang mencatatkan atas 41 kes aktif.

Daripada 237 kes itu, seramai 96.2 peratus atau 228 pesakit berada dalam kategori 1 dan 2 manakala, tiga pesakit dalam kategori 3, dua pesakit dalam kategori 4 dan seorang dalam kategori 5. Sementara itu, tiga kes masih dalam penilaian lanjut JKNS.

Tambahnya, daripada keseluruhan kes yang dilaporkan, sembilan pesakit adalah mereka yang sudah menerima dos penggalak dan 162 kes lagi individu yang sudah lengkap dua dos.

Sementara itu, individu yang belum layak divaksin membabitkan 49 pesakit, 16 orang pesakit yang belum menerima vaksin dan seorang sudah menerima satu dos vaksin.

Setakat ini, kumulatif kes di Sabah adalah sebanyak 238,357 kes dengan 229,833 kes sembuh direkodkan.

Pada masa ini, masih terdapat 804 pesakit masih mendapatkan rawatan di hospital dan Pusat Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *