Sabah Salur Pelbagai Bantuan Untuk Perkasa Pembangunan Pendidikan Tahun Depan – Ketua Menteri

Foto JKM

TUARAN, 16 Dis : Kerajaan Sabah akan terus memperkasa aspek pembangunan pendidikan terutama untuk pelajar memerlukan menerusi pelbagai inisiatif serta bantuan khas diperuntukkan menerusi Belanjawan Negeri 2022, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata usaha tersebut bertujuan memastikan setiap anak di negeri itu mempunyai hak dan akses pendidikan sewajarnya, sejajar dengan komitmen kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memperkukuh agenda pembangunan modal insan demi kesejahteraan rakyat.

Hajiji berkata ini termasuk peruntukan sebanyak RM13.9 juta untuk bantuan khas pendidikan kepada seramai 289,204 anak Sabah menerusi Program Bantuan Sosial Sekolah seperti pakaian seragam, kasut dan alat tulis pada tahun depan.

“Kerajaan Sabah juga akan meneruskan dua lagi bantuan khas pendidikan diperkenalkan tahun lepas iaitu Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) dan Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) melibatkan peruntukan masing-masing RM10 juta dan RM7.5 juta,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penyerahan sumbangan program ceria ke sekolah Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB); sumbangan program sekolah angkat SESB dan sumbangan kepada golongan asnaf, masjid serta pusat maahad tahfiz sekitar Tuaran, di sini.

Hajiji berkata kerajaan Sabah turut memperkenalkan satu inisiatif baharu iaitu Bantuan Ihsan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI) dengan peruntukan sebanyak RM5 juta pada tahun depan.

Melalui BISTARI, setiap anak Sabah dilahirkan bermula pada 2022 akan ditawarkan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dengan bantuan RM100 disumbangkan oleh kerajaan negeri, katanya.

Kerajaan GRS telah memperkenalkan pelbagai bantuan khas pendidikan pada tahun lepas iaitu BUDI dan BAKTI bagi meringankan beban rakyat terutama daripada golongan kurang berkemampuan di Sabah.

Sementara itu, Hajiji berkata, pemberian komputer riba membabitkan peruntukan RM15 juta turut diberikan khusus kepada pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia; Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia pada tahun ini.

Pengagihan 10,000 komputer riba itu dilaksanakan menerusi Bantuan Ihsan Komputer bermula pada Julai hingga Oktober lepas sebagai antara usaha diambil bagi membantu pelajar kurang berkemampuan agar tidak tercicir daripada mengikuti pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), katanya.

Mengenai majlis penyerahan sumbangan itu, Hajiji berkata kerajaan Sabah sentiasa memberi sokongan penuh kepada setiap penglibatan syarikat swasta, individu berkepentingan dan badan bukan kerajaan untuk melaksanakan tanggungjawab sosial korporat bagi membantu golongan memerlukan di negeri itu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *