Loji Rawatan Air Tanjung Labian Diserahkan Kepada Kerajaan Sabah

Foto Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU : Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda)  menyerahkan projek Loji Rawatan Air Tanjung Labian, Lahad Datu bernilai RM18.3 juta kepada kerajaan negeri Sabah dalam usaha membantu penduduk di kawasan berkenaan.

Majlis penyerahan loji rawatan air yang juga program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Felda itu dilakukan oleh Timbalan Pengarah Besar (Servis Korporat) Felda Mahadzir Mustaffa kepada Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah Edward Lingkapo dan disaksikan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Menurut kenyataan berhubung majlis penyerahan tersebut, loji rawatan air Tanjung Labian dengan kapasiti sebanyak 4 juta liter sehari memberi manfaat kpeada kira-kira 800 keluarga di enam kampung di Lahad Datu iaitu Kampung Tanjung Labian, Kampung Tanjung Batu, Kampung Tinagian, Kampung Lok Buani, Kampung Lok Sambuang dan Kampung Bahagia.

Pada majlis berkenaan, Hajiji turut menyaksikan penyerahan surat projek daripada Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman kepada Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah Datuk Mohd Jasmin Julpin untuk naik taraf Jalan Berungis, Tuaran.

Kos naik taraf bernilai Rm15 juta melibatkan jalan sepanjang 4.09 kilometer (km) bermula dari bulatan Berungi hingga persimpangan Marabahai Spur dijangka mulai tahun depan dan siap dalam tempoh 36 bulan.

Projek itu dinaik taraf selepas kesesakan harian di jalan menghubungkan ibu negeri dengan daerah utara di bawah Rolling Plan kedua Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan juga permintaan Ketua Menteri kerana jalan berkenaan terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *