Hanya 3% Penjawat Awam Sabah Belum Divaksin

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU, 9 Dis : Hanya tiga peratus atau 687 penjawat awam negeri Sabah belum mendapatkan vaksin COVID-19 atas faktor kesihatan dan sebab-sebab lain, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir berkata 19,584 atau 97 peratus penjawat awam negeri pula telah menerima vaksin itu termasuk penjawat awam di pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri.

Beliau berkata Sabah menetapkan semua penjawat awam negeri melengkapkan imunisasi COVID-19 untuk mewujudkan persekitaran tempat kerja yang selamat dan memastikan penyampaian serta produktiviti perkhidmatan awam negeri berada pada tahap optimum.

“Selepas 1 Nov 2021, semua pegawai kerajaan negeri perlu melengkapkan dos imunisasi COVID-19, pegawai yang gagal mematuhi arahan ini boleh dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan selaras dengan Peraturan-peraturan Pegawai Awam Negeri Sabah 2008.

“Pegawai yang tidak layak menerima suntikan imunisasi COVID-19 hendaklah mendapatkan pengesahan pegawai perubatan dan memaklumkan kepada ketua jabatan,” katanya ketika menjawab soalan asal Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) yang bertanya bilangan penjawat awam negeri belum mendapat vaksin dan dasar kepada penjawat awam yang tidak mahu menerima vaksin COVID-19.

Abidin berkata bagi melaksanakan dasar ini ketua jabatan boleh mempertimbangkan kaedah bersesuaian untuk mengurus mana-mana pegawai yang tidak mendapat dan melengkapkan imunisasi COVID-19 bukan atas sebab kesihatan.

“Kaedah ini termasuk mengarahkan pegawai membuat ujian pengesanan COVID-19 berkala, sesi kaunseling, bekerja dari rumah untuk satu tempoh, menggunakan cuti kelayakan yang ada dan kemudian cuti tanpa gaji  bagi yang layak dan akhirnya tindakan penamatan perkhidmatan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *