Guru Cetus Kluster Baharu Covid-19 Di Sabah

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Seorang guru mencetuskan kluster baharu Covid-19 berkaitan institusi pendidikan di Sabah hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, guru lelaki terbabit menjadi kes indeks Kluster Debut Timbua di daerah Ranau.

Katanya, kluster itu diisytiharkan apabila 31 lagi individu dikesan positif selepas guru terbabit disahkan positif Covid-19 melalui saringan kendiri, baru-baru ini.

“Siasatan dan saringan lanjut dalam kalangan kontak rapat kemudian mendapati seramai 31 orang lagi dijangkiti Covid-19.

“Semua pesakit sudah diasingkan dan dirawat sewajarnya. Antara lokaliti yang terbabit dengan kluster ini ialah Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Timbua, Kuarters SMK Timbua dan Kuarters Sekolah Menengah Agama (SMA) Mohd Ali,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Secara keseluruhan katanya, kluster berkenaan merekodkan 32 kes setakat ini termasuk 11 kes baharu pada hari ini.

Semalam, Sabah merekodkan Kluster Jalan Tuaran Bakut yang juga membabitkan institusi pendidikan iaitu warga Institut Pendidikan Guru (IPG) Kent di Tuaran.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, Sabah mencatat peningkatan sebanyak tujuh kes hari ini berbanding semalam menjadikan jumlah kes baharu sebanyak 329 kes.

Katanya, Kota Kinabalu mencatat jangkitan tertinggi dengan 73 kes, diikuti Tuaran (53 kes), Penampang (31 kes) dan Ranau (23 kes).

“Secara keseluruhan, sebanyak 16 daerah merekodkan kes satu digit saja dan satu daerah iaitu Semporna tidak merekodkan sebarang kes baharu,” katanya.

Katanya, sebanyak 15 daerah pula mencatat peningkatan kes harian tetapi hanya dua daerah menunjukkan peningkatan yang agak tinggi iaitu Kota Kinabalu dan Penampang.

Sebanyak 11 daerah lagi mencatat penurunan kes dengan tiga daripadanya menunjukkan penurunan dua angka iaitu Tuaran, Beaufort dan Ranau. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *