3 Diburu Lari Dari Hospital Mesra Bukit Padang

KOTA KINABALU: Tiga penghuni Hospital Mesra Bukit Padang, di sini, diburu selepas melarikan diri dari hospital berkenaan, pagi tadi.

Kejadian yang dilaporkan berlaku pada jam 11 pagi itu membabitkan tiga tahanan lelaki yang dikenalpasti sebagai Mohd Azrul Dorah, 28, Mohamed Hidswan Jumalti, 34 dan Mohammad Sobrie Muali, 32 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kejadian disedari kakitangan hospital selepas melihat ada pesakit yang sedang memanjat tembok di belakang wad dipercayai cuba melarikan diri.

Katanya, menyedari perkara itu, kakitangan hospital terus memberitahu rakan sekerjanya selain memaklumkan pengawal keselamatan untuk membantu menangkap pesakit terbabit.

“Bagaimanapun, semua pesakit terbabit gagal ditemui selepas itu walaupun usaha mencari dijalankan di sekeliling kawasan hospital berkenaan.

“Kakitangan hospital kemudian kembali ke wad untuk membuat pemeriksaan bagi mengenalpasti identiti tahanan yang melarikan diri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, hasil pemeriksaan mengesahkan hanya tiga pesakit yang melarikan diri.

Katanya, siasatan awal mendapati, pesakit Mohd Azrul dimasukkan ke Hospital Mesra pada 17 November lalu atas kesalahan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Manakala Mohamed Hidswan dan Mohammad Sobrie dimasukkan ke hospital pada 30 November lalu dan 1 Disember lalu atas kesalahan Seksyen 39C.

“Semua pesakit yang melarikan diri adalah tahanan yang terbabit dalam kes narkotik dan dimasukkan ke Hospital Mesra, Bukit Padang atas arahan Mahkamah mengikut Seksyen 342 CPC kerana disyaki mempunyai masalah mental dan diarahkan untuk menjalani rawatan sebelum dihadapkan kembali ke mahkamah,” katanya.

Mohd Zaidi berkata, ketika semua suspek melarikan diri, mereka berpakaian baju hijau dan seluar pendek hijau.

“Usaha mengesan ketiga-tiga suspek sedang giat dijalankan di sekitar bandar raya ini.

“Orang ramai yang melihat suspek atau mempunyai maklumat kes ini diminta segera menghubungi pegawai Hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu atau 088-529222,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *