2 Pendaki Kinabalu Cedera, Jatuh Ketika Paragliding

Seorang daripada dua pendaki yang cedera dibawa turun dengan stretcher. – Foto BOMBA

RANAU: Dua pendaki cedera selepas terjatuh ketika melakukan aktiviti paragliding di Gunung Kinabalu, Kundasang, hari ini.

Dalam kejadian 7 pagi itu, kedua-dua mangsa ditemui di Kilometer 7.5 Summit Trail dalam keadaan sedarkan diri.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.30 pagi dan empat anggota bersama empat malim gunung berkejar ke lokasi.

“Sebaik tiba di lokasi pada 9.30 pagi, mangsa pertama didapati cedera di bahagian lutut namun masih mampu bergerak sendiri turun ke kaki gunung.

“Mangsa kedua pula didapati bengkak di bahagian lutut kanan dan disyaki mengalami retak tempurung lutut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jurucakap itu berkata, mangsa diberikan rawatan awal dan lukanya dicuci serta dibalut sebelum dibawa turun dengan ‘stretcher’.

“Ketika ini, kedua-dua mangsa bersama pasukan penyelamat masih dalam perjalanan turun,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *