Penduduk Kampung Di Sabah Berdepan Risiko Kehilangan ‘Syurga’ Hutan

Penduduk kampung memulihara kawasan hutan di Bundu Tuhan berhampiran Gunung Kinabalu selama berdekad-dekad.

KOTA KINABALU: Selama beberapa dekad, penduduk kampung di Bundu Tuhan mengawasi kawasan tanah tinggi berhutan berhampiran Gunung Kinabalu.

Mereka mengekalkan hutan asli seluas kira-kira 700ha itu – hampir seluas Petaling Jaya – dalam inisiatif pemuliharaan komuniti untuk memelihara sumber air dan “pasar raya terbuka”, di mana mereka dapat menuai pelbagai hasil seperti cendawan kodop dan buah-buahan liar seperti durian.

“Nenek moyang kami sedar bahawa hutan adalah seperti “tataba” – tongkat ajaib – yang menjadi sumber bekalan air dan hasil yang melimpah ruah, maka ia sesuatu yang mesti kami pelihara,” kata penduduk kampung, Johnny Ghani.

Walaupun mereka mula memelihara kawasan itu sejak beberapa dekad yang lalu, hanya pada 2003 penduduk kampung merasmikan inisiatif yang dikenali dalam bahasa Kadazandusun sebagai “bombon” atau “tagal”.

Mereka memasang papan tanda di pinggir hutan memberi amaran kepada orang luar mengenai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti menceroboh dengan pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut adat masyarakat. Ini termasuk “sogit” atau pampasan yang membabitkan seekor kerbau atau lembu.

Walaupun banyak kampung lain di Sabah memulakan tagal yang sama, ini biasanya hanya meliputi sungai untuk memelihara laluan air serta ikan dan hidupan lain di dalamnya.

“Saya tidak tahu mana-mana kampung lain di Sabah yang menjalankan bombon untuk hutan. Saya percaya kami adalah perintisnya,” kata Johnny, yang mengetuai Jawatankuasa Pemegang Amanah Bundu Tuhan, ditubuhkan bagi menyelia pengurusan hutan.

Seorang penduduk kampung memasang papan tanda memberitahu orang luar bahawa usaha pemuliharaan dijalankan di kawasan butan itu.

Bombon atau tagal Bundu Tuhan di kawasan hutan yang masih asli itu telah membuahkan hasil – air jernih berterusan mengalir melalui sistem paip menggunakan graviti bagi 3,000 penduduk kampung.

Di samping itu, hidupan liar banyak terdapat di sekitar kampung.

“Tupai-tupai kini datang dan berkongsi dengan cucu-cucu saya buah pokok mata kucing (longan) kerdil kami. Sesekali kami mendengar panggilan kijang,” kata anak jati Bundu Tuhan, Sualim Gopog.

Namun, penduduk kampung bimbang sama ada mereka akan kehilangan suara dalam usaha pemuliharaan hutan itu.

Awal tahun lalu, mereka mendapat tahu bahawa Jabatan Perhutanan Sabah telah memulakan langkah untuk menukar status kawasan hutan itu daripada rizab masyarakat kepada hutan simpan.

Penduduk kampung seperti Johnny bingung dan bimbang tentang masa depan hutan yang telah mereka pelihara selama beberapa generasi.

Apabila ia diwartakan sebagai hutan simpan, tiada apa yang dapat menghalang pihak berkuasa negeri daripada terus mengubah status hutan tersebut.

“Adakah ini akan menjadi kawasan perlindungan, hutan simpan Kelas 1 selama-lamanya? Apabila ia berada di luar tangan kami, apa sahaja boleh berlaku dan kami boleh kehilangan sumber berharga ini,” tambah Johnny.

Pegawai perhutanan memberitahu penduduk kampung “mereka tidak percaya bahawa kami boleh meneruskan pemuliharaan hutan ini dalam jangka masa panjang”, kata Johnny.

“Itu tidak masuk akal, ini adalah sumber air kami,” tambahnya.

Amaran mengenai pencerobohan di hutan terlindung itu. Menurut adat Kadazandusun, pesalah boleh dikenakan hukuman termasuk pampasan dalam bentuk kerbau atau lembu.

Penduduk kampung telah menyuarakan kebimbangan mereka kepada Pejabat Sumber Asli kerajaan negeri.

“Harapan kami adalah kewajaran akal akan diutamakan,” kata Johnny.

Tambahnya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang Dr Joachim Gunsalam, yang juga Timbalan Ketua Menteri, dan Pejabat Daerah Ranau telah menyuarakan persetujuan.

Bagi penduduk kampung Bundu Tuhan seperti Johnny dan Sualim, tidak masuk akal membiarkan “tongkat sakti” yang menjadi hutan terlindung mereka dirampas.

Bagi mereka, terlalu banyak yang menjadi pertaruhannya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *