Laluan Sementara Tak Siap, Jangan ‘Janji Tarang Bulan’, Kata Penduduk Apin-Apin

Orang awam termasuk pelajar sekolah dan kanak-kanak terpaksa melintasi laluan pejalan kaki yang dibina sebelum menumpang kenderaan lain atau menggunakan bas untuk ke sekolah atau destinasi seterusnya.

KENINGAU: Penduduk di Apin-Apin dan sekitarnya di sini yang terjejas akibat jalan runtuh di jalan Keningau-Tambunan, berhampiran Kampung Liau mengeluh kerana lencongan untuk laluan sementara kenderaan masih belum dibina sehingga kini.

Lencongan berkenaan sebelum ini dikatakan akan siap dalam tempoh seminggu selepas kejadian jalan runtuh terbabit pada 9 Nov lalu, namun yang ada ketika ini hanya laluan pejalan kaki yang turut digunakan penunggang motosikal atas risiko mereka sendiri.

Malah telah berlaku kejadian seorang penunggang motosikal terjatuh ke dalam sungai ketika melintasi laluan berkenaan dan video kejadian itu turut tular di media sosial.

Seorang penduduk Erica Rachel berkata, ketiadaan lencongan untuk laluan sementara seperti dijanjikan banyak menyusahkan penduduk di Apin-Apin dan sekitarnya.

Erica berkata, lebih-lebih lagi sesi persekolahan yang bermula minggu ini apabila pelajar termasuk kanak-kanak terpaksa berjalan kaki melintasi laluan berkenaan.

“Bayangkan biasanya perjalanan kami dari Apin-Apin ke Keningau sebelum ini hanya mengambil masa 20 hingga 30 minit, tetapi sekarang kami terpaksa menggunakan laluan alternatif di Jalan Trans Pagalan (Magatang-Ranggom Kapayan) yang mengambil masa berjam-jam.

“Kalau trafik sesak, banyak lori, kadang-kadang tiga jam baru sampai pekan (Keningau),” katanya.

Seorang lagi penduduk yang enggan disiarkan namanya berkata, penduduk di Apin-Apin dan sekitarnya sangat marah terhadap pihak berkuasa kerana sebelum ini lencongan sementara untuk laluan kenderaan dijanjikan akan siap dalam tempoh seminggu selepas kejadian jalan runtuh itu.

“Kejadian jalan runtuh ini disebabkan bencana alam, itu kami faham, tapi tindakan segera untuk laluan sementara perlu dilakukan segera.

“Saya terbaca laporan berita mengatakan (lencongan) akan siap dalam tempoh seminggu, tapi sampai sekarang belum ada, inilah dikatakan ‘janji tarang bulan’,” katanya sambil menjelaskan ‘janji tarang bulan’ bermaksud sekadar berjanji, dipetik daripada lirik lagu tempatan popular di Sabah.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Ali Ahmad Hamid berkata, punca runtuhan dipercayai akibat kegagalan pembetung sementara (culvert) disebabkan hujan lebat yang berterusan.

Sebelum ini juga, Pembantu Menteri Kerja Raya, Robert Tawik berkata, pihak konsesi JKR akan membina jalan lencongan bersebelahan jalan yang runtuh terbabit dan dijangka siap dalam tempoh seminggu.

Tawik turut berkata, beliau akan memohon kepada kerajaan persekutuan agar menyalurkan peruntukan bagi membina jambatan kekal di jalan terbabit.

Katanya, jika peruntukan itu diluluskan, pembinaan jambatan kekal berkenaan akan mengambil masa selama dua tahun. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *