Budak 3 Tahun Lemas Ketika Mandi Bersama Keluarga Di Kudat

Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun mati lemas ketika mandi-manda bersama keluarga di Kampung Bangau, Kudat, semalam. – Foto Ihsan Bomba

KUDAT: Kegembiraan sebuah keluarga mandi-manda di Pantai Kampung Bangau, di sini, berakhir dengan tragedi selepas seorang kanak-kanak berusia tiga tahun ditemui lemas petang semalam.

Mayat mangsa ditemui anggota bomba dan penduduk kampung berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang pada 4.25 petang.

Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, ia menerima panggilan kecemasan pada 3.13 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pasukan operasi terus menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) secara permukaan di lokasi sekitar pantai berkenaan.

“Mangsa akhirnya berjaya ditemui pasukan SAR bersama penduduk kampung pada 4.25 petang dan disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *