Anak Kapal TLDM Cetus Kluster Baharu Di Sabah

Kluster Lautan Biru di Sabah membabitkan anak kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan jangkitan dipercayai berlaku semasa operasi. – Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kluster baharu, iaitu kluster Lautan Biru menjadi punca kenaikan mendadak kes Covid-19 di Kota Kinabalu, hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun.

Katanya, kluster itu membabitkan anak kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan jangkitan dipercayai berlaku semasa operasi.

“Setakat ini 93 orang disahkan positif dan jumlah itu menjadi penyumbang kepada kenaikan mendadak kes di Kota Kinabalu, hari ini, iaitu sebanyak 163 berbanding 98 kes yang dicatatkan semalam.

“Mengikut statistik, cuma tiga daripada 161 kes didaftar di Kota Kinabalu sepanjang 24 jam lalu, selebihnya merupakan kes-kes daftar lewat dua hari atau lebih lama selepas keputusan saringan diketahui,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, sebanyak 485 kes baharu dicatatkan di Sabah hari ini, berbanding 437 kes, semalam.

Katanya, beberapa daerah lain mencatatkan pertambahan kes harian yang agak ketara seperti Tuaran dan Kota Marudu, namun daerah-daerah seperti Penampang, Papar dan Tenom mencatat jumlah kes harian yang jauh lebih rendah hari ini.

“Kes-kes daripada kluster Lautan Biru dan kluster Kemburongoh menyumbang hampir 19% daripada jumlah kes di Sabah hari ini.

“Peratusan kes-kes saringan kontak rapat dan kes-kes saringan bergejala hampir sama tinggi, iaitu 39% bagi saringan kontak dan 36% bagi saringan bergejala.

“Ini satu petanda jelas virus Covid-19 sudah berada secara meluas di tengah-tengah masyarakat dan risiko jangkitan secara sporadik semakin tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 469 pesakit atau 97% berada dalam Kategori 1 dan 2, lima orang dalam Kategori 3, dua orang dalam Kategori 4 dan tiga pesakit dalam Kategori 5 manakala 6 pesakit masih dalam penilaian Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS). – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *