(VIDEO) Penduduk Kampung Tahan Penyamun Di Ranau

RANAU: Kepantasan penduduk bertindak selepas mendengar jeritan peniaga wanita meminta pertolongan akibat disamun, menyaksikan seorang lelaki warga asing ditahan di Kampung Nalapak di sini, petang semalam.

Satu klip video turut tular di Facebook memaparkan suspek ditangkap penduduk sebelum diserahkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, dalam kejadian pada 3 petang itu, kedai runcit milik peniaga wanita terbabit didatangi seorang lelaki tidak dikenali.

“Suspek meluru ke kaunter lalu mengeluarkan satu objek tajam diperbuat daripada buluh dan mengugut mangsa agar tidak berbuat bising.

“Mangsa yang ketakutan diarahkan agar memasukkan sejumlah wang ke dalam plastik kecil berwarna hitam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, sebaik wang itu dimasukkan ke dalam plastik, suspek segera keluar melarikan diri.

Katanya, mangsa turut keluar dan menjerit meminta pertolongan sebelum didengari beberapa penduduk kampung berhampiran.

“Penduduk kampung terus mengejar suspek sehingga berjaya ditahan tidak jauh dari lokasi dan mendapatkan semula wang milik peniaga itu.

“Penduduk kemudian menyerahkan suspek kepada polis yang tiba di lokasi selepas dihubungi mangsa,” katanya.

Sehubungan itu, Simiun menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan siasatan terganggu dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *