Bung Moktar Dapat Pelepasan Sementara Pasport

Bung Moktar

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin, yang berdepan pertuduhan rasuah, bagi mendapatkan pelepasan sementara pasportnya untuk ke Arab Saudi bagi urusan rasmi.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguamnya, Teh See Khoon, ketika dihubungi pemberita hari ini.

“Semalam, mahkamah (Hakim Rozina Ayob) membenarkan pelepasan pasport Bung Moktar bermula 10 hingga 22 Nov ini dan beliau perlu mengembalikan pasport itu kepada mahkamah pada 22 Nov.

“Permohonan untuk mendapatkan pasport itu dibuat berikutan anak guam kami mempunyai urusan rasmi di Arab Saudi,” katanya sambil menambah pendakwaan tidak membantah permohonan itu.

Beliau berkata, perbicaraan kes anak guamnya akan bersambung pada 26 Nov ini.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar, 62, yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual iaitu Madhi Abdul Hamid, 38, menerusi isterinya Datin Seri Zizie Izette A Samad di Public Bank cawangan Taman Melawati di sini antara 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai sebanyak RM335,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Public Mutual iaitu Norlaili Ahmad Mokhtar, 42, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *