PM Ikrar Keluarkan Sabah Dari Kemiskinan

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berikrar untuk membangunkan Sabah dan mengeluarkan negeri itu daripada kategori negeri miskin.

SANDAKAN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berikrar untuk membangunkan Sabah dan mengeluarkan negeri itu daripada kategori negeri miskin.

Katanya, itu antara fokus beliau selaku Perdana Menteri dan perkara itu sebenarnya sudah dilakukannya sejak memegang jawatan Menteri Pembangunan Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sebelum ini.

“Waktu saya Menteri Luar Bandar pun saya tumpukan Sabah, waktu saya jadi Perdana Menteri pasti saya akan menumpukan Sabah… Insya-Allah Bung, kita pastikan kita akan keluarkan Sabah daripada kemiskinan, negeri yang disebut salah satu negeri miskin di Malaysia,” katanya ketika berucap dalam Mesyuarat Pimpinan Masyarakat Daerah Sandakan bersama Perdana Menteri, di Sandakan, pada Jumaat.

Ismail Sabri juga berkata, pihaknya akan menumpukan kepada kelancaran pembinaan Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Jelas beliau, ia termasuk mempertimbangkan penyaluran peruntukan pembinaan projek itu dengan kaedah inisiatif kewangan swasta (PFI).

“…Kita juga memberi fokus sekarang ni, fokus untuk membangunkan Pan Borneo. Tadi saya baru dapatkan maklumat daripada Menteri Kewangan, kita tidak tidak akan berhenti di situ sahaja.

“Pastinya kita akan sambung projek Pan Borneo ni sampai selesai… kalau tiada bajet seperti Bung cakapkan, secara PFI pun kita akan laksankan,” katanya lagi.

Ujarnya, perkara itu diajukan sendiri oleh Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan pihaknya akan mencari kaedah untuk melaksanakannya.

Terdahulu, peruntukan Lebuhraya Pan Borneo disalurkan sepenuhnya pihak kerajaan sejak dimulakan pembianannya pada tahun 2016.

Bagaimanapun, peruntukan yang diberikan diambil daripada belanjawan tahunan dan ia akan mengambil masa yang lama untuk siapkan projek berkenaan jika kaedah pendanaan berkenaan diteruskan.

Oleh itu, Bung Moktar mencadangkan agar kaedah PFI digunakan bagi pembinaan projek mega berkenaan. – AWANI

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *