Lelaki Maut, Kenderaan Dipandu Bertembung Dengan 4×4

PENAMPANG: Seorang lelaki maut selepas tersepit di dalam kenderaannya dalam kemalangan di Jalan Ramayah, di sini, petang tadi.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa yang dikenali sebagai Zursidin Nordin, 28 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Jamaludin Husin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.17 petang.

Katanya, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Penampang dengan sembilan anggota ke tempat kejadian.

“Kemalangan membabitkan kereta Perodua Axia dan pacuan empat roda jenis Isuzu D Max.

“Pemandu Perodua Axia lelaki tersepit di dalam kereta dan mangsa dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh doktor dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.

Katanya, mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Tiga individu yang berada di dalam pacuan empat roda tidak mengalami kecederaan,” tegasnya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *