Naikkan Harga Rokok, Sekat Rokok Elektronik & Vape, MCTC Beritahu Kerajaan

Majlis Kawalan Tembakau Malaysia berkata, kajian di AS menunjukkan bahawa vape tidak membantu orang ramai berhenti merokok dan turut mempunyai bahaya tersendiri.

PUTRAJAYA: Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) menggesa kenaikan harga rokok, pengharaman sepenuhnya vape dan e-rokok serta mencadangkan supaya Rang Undang-undang Kawalan Tembakau dibentangkan.

MCTC turut menyuarakan rasa kecewa dengan pembentangan Bajet 2022 Jumaat lalu khususnya pengumuman kerajaan bahawa cecair yang digunakan untuk produk vape akan dikenakan cukai eksais.

“Sejak enam tahun lalu, kami konsisten meminta kerajaan mengharamkan vape, e-rokok dan sebarang bentuk sistem penyampaian nikotin elektronik.

“Kami ingin mengingatkan kerajaan dan Ahli Parlimen bahawa produk vape tidak membantu perokok menghentikan amalan merokok,” kata Presiden MCTC Dr Lekhraj Rampal dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, penyelidikan yang dilakukan di AS menunjukkan bahawa produk vape tidak berkesan dalam membantu mengekang tabiat perokok malah memudaratkan diri mereka sendiri.

Apa yang membimbangkan ialah vape semakin popular dalam kalangan remaja, katanya.

Lekhraj juga menyeru kerajaan meningkatkan cukai ke atas rokok daripada 58.6% daripada harga runcit sekarang kepada 70%.

Selain itu katanya, Rang Undang-undang Kawalan Tembakau yang drafnya telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara di bawah Pakatan Harapan pada 2019, mesti dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang bagi mewujudkan undang-undang tembakau yang lebih komprehensif daripada yang terkandung dalam Akta Makanan 1983, Akta Racun 1952 dan Penjualan Akta Dadah 1952. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *