Lori ‘Hentam’ Lori

TUARAN: Seorang pemandu lori tersepit selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah lagi lori 10 tan dalam kejadian di Jalan Nongkulud, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, mangsa berusia 39 tahun dilaporkan tersepit di tempat duduk hadapan manakala seorang lagi pemandu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.19 petang.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan 10 anggota dan pegawai bersama jentera serta van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, pemandu lori tiga tan didapati tersepit di tempat duduk pemandu dan operasi mengeluarkan mangsa terus dijalankan.

“Mangsa kemudiannya berjaya dikeluarkan dan terus diberikan rawatan awal oleh pasukan paramedik di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, mangsa yang dilaporkan dalam keadaan stabil kemudiannya dihantar ke Hospital Tuaran untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Pasukan bomba seterusnya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat pada jam 3.44 petang,” katanya. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *