Sabah Bakal Miliki Loji LNG Pertama & Terbesar, Kata Hajiji

Hajiji (tiga dari kanan) menerima cenderahati daripada Lokman selepas mengadakan pertemuan di pejabat ketua menteri, hari ini. – Foto JKM

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, Sabah bakal memiliki loji gas asli cecair (LNG) pesisir pantai yang pertama dan terbesar di negeri itu yang dijangka mula beroperasi pada penghujung 2026.

Katanya, projek berkenaan akan dibina oleh Petronas di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan pembinaannya dilaksanakan selepas memperolehi keputusan pelaburan akhir (FID) pada 2022.

“Projek LNG pesisir pantai adalah hasil kajian bersama antara kerajaan negeri dan Petronas untuk mengenal pasti pilihan penerokaan gas yang optimum dalam usaha memaksimumkan jangka panjang ekonomi yang akan memberi manfaat kepada rakyat Sabah.

“Projek LNG, tertakluk kepada FID pada 2022, adalah langkah ke arah yang betul yang mana kerajaan terus mengusahakan lebih banyak peluang untuk mendapatkan hasil tambahan melalui penyertaan ekuiti untuk Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas beliau menerima kunjungan hormat oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lokman Hakim Ali, di pejabatnya, hari ini.

Hajiji berkata, kerajaan negeri yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga akan melihat lebih banyak pilihan untuk memastikan rakyat Sabah meraih faedah daripada sektor minyak dan gas negeri ini.

Katanya, loji baharu LNG itu dijangka meningkatkan jumlah pengeluaran LNG daripada 2.7 kepada 4.7 juta tan metrik setahun (MTPA) iaitu pertambahan 2 juta MTPA kapasiti pengeluaran LNG.

“Apabila beroperasi, loji LNG akan mengukuhkan lagi ekosistem bakat tempatan dan syarikat yang mempunyai kemahiran khusus untuk menjalankan operasi dan perkhidmatan sokongan.

“Loji LNG pesisir pantai akan dibangunkan di SOGIP di mana gas akan dibekalkan dari lapangan gas Sabah melalui Saluran Paip Gas Sabah Sarawak (SSGP) sedia ada.

“Loji itu akan disambungkan berhampiran sambungan jeti baharu Petronas Chemicals Fertilizer Sabah dan disokong oleh utiliti serta kemudahan yang terpilih dari daratan,” katanya.

Beliau berkata, dengan keupayaannya yang boleh dipindahkan, loji LNG pesisir pantai itu mampu menyediakan penggunaan aset secara berterusan dan mengoptimumkan pelaburan.

“Aktiviti Front End Engineering Design (FEED) untuk projek ini akan bermula pada akhir Oktober 2021 dan tertakluk kepada keputusan pelaburan akhir (FID), loji LNG pesisir pantai dirancang akan siap untuk bermula pada akhir 2026,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *