Chong Wei Hadiahkan Raket Kepada Juhar

Chong Wei (dua kiri) menghadiahkan raket kepada Tun Juhar Mahiruddin (dua kanan) sambil diperhatikan Toh Puan Norlidah RM Jasni dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin (kiri) di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu, hari ini . – Foto ihsan Jabatan Penerangan Sabah

KOTA KINABALU: Bekas pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menghadiahkan raket yang pernah digunakannya kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Chong Wei memaklumkan raket yang diserahkan kepada Juhar pernah digunakannya ketika bertanding pada Sukan Olimpik manakala satu lagi yang diberikan kepada Norlidah pernah digunakan pada Terbuka Malaysia.

“Saya tahu Toh Puan meminati sukan badminton dan ‘fan’ (peminat) saya. Oleh sebab itu saya menghadiahkan raket sebagai pembakar semangat kepada pemain badminton khususnya di Sabah,” katanya selepas Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sabah, di Istana Seri Kinabalu, di sini, hari ini.

Chong Wei yang ditemani isterinya, Datin Wong Mei Choo turut menerima watikah Jaksa Pendamai.

Seramai lima individu menerima watikah Jaksa Pendamai daripada Juhar pada majlis itu termasuk Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Jafry Ariffin.

Selain watikah Jaksa Pendamai, Juhar turut menyampaikan darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Sabah yang lain membabitkan seramai 120 penerima keseluruhan.

Ia didahului Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang menerima darjah kebesaran tertinggi Sabah iaitu Seri Panglima Darjah Kinabalu (SPDK) yang membawa gelaran Datuk Seri Panglima. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *