Covid-19: Vaksinasi Di Sabah Antara Paling Rendah

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Kadar vaksinasi COVID-19 di Kelantan dan Sabah adalah yang paling rendah dengan jumlah penduduk lengkap menerima pelalian berkenaan setakat ini, masing-masing direkodkan hanya pada 55.5 dan 55.9 peratus.

Semakan di laman web COVIDNOW, mendapati setakat semalam, hanya dua negeri itu berada pada paras sekitar 50 peratus bagi imunisasi lengkap, manakala empat negeri, iaitu Perak, Kedah, Pahang dan Terengganu mencapai angka 60 peratus.

Di Kelantan, jumlah penduduk dewasa lengkap vaksin adalah pada 77.3 peratus dan dos pertama pada 80.9 peratus, manakala remaja lengkap vaksinasi pada 48.3 peratus dan dos pertama pada 78.1 peratus.

Di Sabah pula, jumlah penduduk sudah menerima dos pertama adalah 60.5 peratus dengan golongan dewasa lengkap vaksinasi pada 71.8 peratus dan belum lengkap pada 76.5 peratus, manakala remaja lengkap vaksinasi pada 47.2 peratus dan belum lengkap pada 59.1 peratus.

Menurut COVIDNOW, satu-satunya negeri yang melebihi peratusan 80 peratus vaksinasi penduduknya adalah Lembah Klang dengan 86.7 peratus, manakala negeri lain iaitu Pulau Pinang (78.9 peratus), Negeri Sembilan (76.7 peratus, Labuan (76.4 peratus), Perlis (73.7 peratus), Johor (72.6 peratus), Melaka (72.4 peratus) serta Sarawak (72.3 peratus).

Setakat semalam juga, jumlah penduduk di negara ini yang lengkap vaksinasi adalah seramai 23,565,799 atau72.2 peratus, manakala belum lengkap divaksinasi seramai 1,778,402 atau 5.4 peratus dan tiada vaksinasi seramai 508,102 atau 23 peratus.

Setakat ini, 48,831,214 dos suntikan dengan +157,999 dos harian sudah diberikan dalam program vaksinasi, manakala bagi dos penggalak pula, sebanyak 84,941 dos suntikan dengan +18,267 dos harian diberikan.

Laporan unjuran 80 peratus penduduk negara lengkap vaksinasi yang dikeluarkan COVIDNOW adalah pada 15 Disember depan atau dalam tempoh 54 hari lagi, unjuran 80 peratus bagi vaksinasi remaja adalah 20 November dan unjuran 100 peratus lengkap vaksinasi dewasa adalah pada 26 Disember depan. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *