67.4% Penduduk Dewasa Di Sabah Lengkap Terima Vaksin

KOTA KINABALU : Sebanyak 1,859,799 orang atau 67.4 peratus penduduk dewasa di Sabah telah melengkapkan dos vaksin COVID-19 sehingga semalam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun berkata sehingga semalam juga sebanyak 2,061,944 atau 74.8 peratus penduduk dewasa di Sabah telah menerima satu dos vaksin tersebut.

“(Selain itu) Sehingga kini, 282,982 remaja berusia 12 hingga 17 tahun di Sabah telah menerima satu dos vaksin COVID-19,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Mengenai perkembangan kes COVID-19, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah berkata angka jangkitan di Sabah adalah tidak statik yang mana setelah mencatatkan peningkatan semalam, kes merekodkan sedikit penurunan iaitu 15 kes menjadikan 790 kes dicatat hari ini.

“Sebanyak 90.38 peratus daripada jumlah kes pada hari ini adalah kategori satu dan dua yang lazimnya hanya memerlukan rawatan kendiri di rumah atau di PKRC (Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah), selebihnya kategori tiga, empat dan lima,” katanya.

Beliau berkata 1,472 pesakit COVID-19 sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif 188,294 orang sembuh,  manakala 2,627 pesakit masih menerima rawatan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *