Bayi Masih Bernyawa Ditemui Dalam Tong Sampah Di Indah Permai

Bayi  lelaki ditemuikan di dalam tong sampah berhampiran sebuah pasar raya di Taman Indah Permai, Manggatal, di sini, malam tadi. – Foto Facebook

KOTA KINABALU: Seorang bayi lelaki ditemukan masih bernyawa di dalam tong sampah berhampiran sebuah pasar raya di Taman Indah Permai, Manggatal, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 7 malam itu, bayi cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan sebelum dibuang di situ.

Bayi malang itu ditemukan seorang lelaki berusia 30-an yang kebetulan melintasi kawasan pembuangan sampah berkenaan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman berkata, siasatan awal mendapati, lelaki yang enggan dikenali itu mendakwa terdengar bunyi rengekan yang pada mulanya disangka kucing.

Bagaimanapun, katanya, ketika lelaki terbabit menghampiri kawasan pembuangan sampah itu, bunyi semakin kuat sehingga membuatkannya dia terus mencari sumber bunyi berkenaan.

“Lelaki terbabit yang terkejut dengan penemuan bayi itu terus menghubungi pusat panggilan kecemasan MERS 999.

“Polis kemudian terus menjalankan siasatan di lokasi sebelum menyerahkan bayi terbabit kepada pasukan ambulans untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

George berkata, bayi itu dihantar ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas (HWKKS) untuk pemeriksaan dan rawatan.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan bagi mengesan suspek terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang bayi.

“Pihak polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu supaya tampil membantu siasatan.

“Mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat iaitu Inspektor Ab Zumin di talian 0145521425,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *