Polis Tahan Empat Penagih Dadah Di Papar

Empas suspek yang ditahan – Foto Polis Daerah Papar

PAPAR: Empat lelaki ditahan selepas dikesan positif dadah dalam operasi yang dijalankan di sekitar daerah Papar, semalam.

Keempat-empat lelaki berusia 20 hingga 30-an itu ditahan sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Papar.

Ketua Polis Daerah Papar Deputi Superintendan Batholomew Umpit berkata, keempat-empat suspek yang berjaya ditahan adalah warga tempatan.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, polis menemui dadah seberat 0.21 gram yang dipercayai untuk melepas gian daripada salah seorang terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.

“Kejayaan tangkapan ini adalah salah satu usaha berterusan polis dalam mengatasi masalah penyalahgunaan dadah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Batholomew berkata, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap semua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.

Sementara itu, Batholomew berkata, operasi yang dijalankan ini adalah salah satu langkah terbaik dalam mencegah sebarang aktiviti jenayah di daerah Papar.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dadah dan jenayah di daerah ini kepada pihak polis atau IPD Papar khususnya untuk tindakan segera,” katanya. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *