Lelaki Cemas, Kereta Dipandu Tiba-Tiba Terbakar

Anggota bomba memadam kebakaran Proton Saga di Penampang. – Foto BOMBA

PENAMPANG: Lelaki yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 berdepan detik cemas apabila keretanya tiba-tiba terbakar di Jalan Pan Borneo, Papar Lama, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian 12 tengah hari itu, mangsa berusia 67 tahun terselamat selepas sempat memberhentikan kereta Proton Saga di tepi jalan sebelum keluar menyelamatkan diri.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Jamaluddin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 12.12 tengah hari.

Katanya, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan utiliti dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kereta berkenaan masih terbakar dan operasi pemadaman segera dijalankan dan api berjaya dikawal pada 12.30 tengah hari sebelum dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Katanya, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kebakaran. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *