Lebih 90 Peratus Kes Ringan Covid-19 Di Sabah Hari Ini – Masidi

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, 90.81% daripada keseluruhan 805 kes baharu Covid-19 di Sabah hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2.

Katanya, pesakit kategori itu lazimnya hanya memerlukan rawatan kendiri di rumah atau pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 (PKRC).

Masidi Manjun

“Terdapat enam kes dalam Kategori 3, empat kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, Masidi yang juga jurucakap negeri berkaitan Covid-19 berkata, peningkatan ujian saringan ke atas individu bergejala dan kontak rapat menyebabkan pertambahan kes baharu di banyak daerah hari ini.

“Jumlah keseluruhan bagi Sabah melonjak kepada 805 kes setelah menurun beberapa hari sebelum ini, bagaimanapun tiada daerah yang mencatatkan kes tiga angka.

“Peningkatan ini selari dengan jumlah daerah yang mencatatkan peningkatan kes, iaitu sebanyak 18 daerah, dengan hanya lapan daerah mencatatkan penurunan dan satu daerah, iaitu Kudat kekal dengan catatan sebagaimana semalam.”

Beliau berkata, Ranau mencatatkan jumlah kes tertinggi hari ini, iaitu 87 kes, peningkatan sebanyak 46 kes.

Daerah lain yang mencatatkan peningkatan ketara kes ialah Kota Marudu meningkat 42 kes, Lahad Datu (37), Pitas (34), Tambunan (27), Beaufort (26), Putatan (19), Kota Belud (14), Sandakan (12), Kunak (11) dan Sipitang (10).

“Daerah yang mencatatkan penurunan kes tertinggi ialah Kinabatangan sebanyak 97 kes, Papar (29), Kota Kinabalu (19), Keningau (19) dan Penampang (13 kes).

“Hari ini juga dapat dilihat perbandingan kes yang ketara di Kinabatangan berbanding semalam dan faktor mempengaruhi dapatan tersebut ialah kewujudan dua kluster baharu di daerah tersebut yang didaftarkan semalam.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *