KKM Lulus Vaksin Sinovac Untuk Remaja

Kelulusan vaksin Sinovac untuk golongan berumur 12 tahun dan ke atas dibuat selepas mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-354 yang bersidang hari ini.

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan penggunaan vaksin Sinovac untuk golongan yang berumur 12 tahun dan ke atas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, vaksin Covid-19 itu adalah yang kedua diluluskan untuk penggunaan bagi golongan remaja selepas kelulusan sama diberi kepada vaksin Pfizer pada Jun lalu.

Katanya, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) menyarankan agar penggunaan vaksin itu buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi dan mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima vaksin Pfizer.

“Penilaian bagi penggunaan Sinovac dalam kalangan remaja dengan komorbiditi akan diteruskan sebaik sahaja data yang dikemukakan mencukupi,” katanya dalam kenyataan.

Kelulusan itu dibuat selepas mesyuarat PBKD kali ke-354 yang bersidang hari ini.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Remaja dimulakan secara rasmi pada 20 Sept dengan menyasarkan 3.2 juta golongan remaja berusia 12 tahun (mengikut tarikh lahir) hingga 17 tahun.

Langkah itu adalah sebagai persediaan pembukaan sekolah bagi memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan, sekali gus mencegah kejadian kluster dan kes Covid-19 dalam kalangan warga sekolah. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *