18 Daerah Di Sabah Beralih Kepada Sekatan Mengikut Zon

KOTA KINABALU: Sebanyak 18 daerah di Sabah beralih kepada sekatan pergerakan mengikut zon yang dibahagikan kepada lima zon berasingan bermula hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, baki sembilan daerah lagi kekal dikenakan sekatan rentas daerah iaitu Kinabatangan, Telupid, Tongod, Sandakan, Kalabakan, Tawau, Papar, Semporna dan Nabawan.

Beliau berkata, sembilan daerah terbabit tidak dimasukkan ke dalam mana-mana zon kerana belum mencapai tahap 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin Covid-19.

“Daerah Kinabatangan, Telupid, Tongod, Sandakan, Kalabakan, Tawau, Papar, Semporna dan Nabawan dikategorikan sebagai daerah berasingan disebabkan belum mencapai kadar 60 peratus vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa,” katanya dalam kenyataan. malam tadi.

Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah berkata, 18 daerah yang beralih ke sistem sekatan zon pula sudah mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin.

Katanya, daerah terbabit dibahagikan kepada lima zon iaitu Zon 1 hingga Zon 5 dengan tiada lagi sekatan pergerakan dikuatkuasakan di antara daerah dalam zon yang sama.

“Zon 1 merangkumi daerah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran, Ranau dan Kota Belud, manakala Zon 2 membabitkan daerah Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu.

“Zon 3 pula merangkumi daerah Kudat, Kota Marudu, Pitas dan Beluran, diikuti Zon 4 yang merangkumi daerah Lahad Datu dan Kunak serta Zon 5 yang membabitkan daerah Keningau, Tambunan dan Tenom,” katanya.

Berdasarkan sistem baharu itu, sekatan pergerakan hanya dikenakan bagi penduduk yang merentas ke daerah dalam zon yang berbeza atau ke sembilan daerah yang belum mencapai tahap 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin.

Sementara itu, setakat semalam seramai 1,773,407 atau 64.3 peratus penduduk dewasa Sabah sudah menerima vaksin lengkap, manakala 2,038,083 orang atau 73.9 peratus daripada penduduk dewasa menerima satu dos vaksin. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *