Tiada Lagi Pemvaksinan COVID-19 Secara ‘Walk In’ Di PPV UMS Mulai 4 Oktober Ini

KOTA KINABALU, 30 Sept : Pusat pemberian vaksin (PPV) Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak lagi memberikan vaksin COVID-19 secara jumpa terus bermula 4 Okt ini.

Menurut kenyataan UMS hari ini, PPV itu hanya memberikan suntikan vaksin kepada penerima dos kedua melalui temu janji MySejahtera.

“Slot jumpa terus tidak lagi dibenarkan untuk suntikan sama ada dos pertama atau dos kedua. Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi hotline (talian utama) di  013-8151373,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu pusat pemberian vaksin itu akan beroperasi seperti biasa dari Isnin hingga Jumaat, dari pukul 8 pagi hingga 5 petang mengikut temu janji yang ditetapkan.

PPV UMS telah beroperasi sejak 14 Jun lepas melalui temu janji MySejahtera sebelum membuka slot jumpa terus untuk orang ramai dengan kapasiti sehingga 3,000 dos vaksin sehari.

Sehingga kini, lebih 100,000 dos telah diberikan melalui pusat pemberian vaksin ini, selain program khidmat masyarakat di pelbagai tempat termasuk di kawasan perkampungan terpencil, penjara Kota Kinabalu dan Pusat Tahanan Sementara. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *