PM Setuju Laksana ‘Reformasi’ Kerana Terdesak, Mahu Kekal Berkuasa, Kata Madius

Wilfred Madius Tangau berkata, semakin banyak pihak mula bercakap mengenai jurang pembangunan wilayah di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak hanya kerana mereka memerlukan sokongan dan undi daripada kedua-dua negeri berkenaan.

KOTA KINABALU: Persetujuan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob melaksanakan “reformasi institusi” tidak dibuat berdasarkan keyakinan, namun lebih kepada tindakan terdesak untuk mengekalkan kuasa serta kedudukan semata-mata, kata Wilfred Madius Tangau (PH- Tuaran).

Madius yang juga Presiden Upko berkata, reformasi yang dikatakan akan dilaksanakan itu dibuat dalam keadaan terpaksa, bukannya berdasarkan rancangan serta keyakinan untuk melaksanakannya.

“Apa yang saya ingin tanya kepada Perdana Menteri adalah, kenapakah hanya kerana mahu mempertahankan kuasa dan kedudukan baru mahu melaksanakan reformasi?

“Nampaknya di negara kita ini, reformasi hanya dibuat apabila terpaksa, bukan dengan rancangan serta keyakinan,” katanya dalam perbahasan di Dewan Rakyat.

Madius berkata , Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) yang dibentangkan baru-baru ini pasti akan diluluskan susulan memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, PH bersama Ahli Parlimennya akan memberi sokongan, bermula daripada usul menjunjung kasih Titah Diraja, RMK12 dan juga Belanjawan 2022 kelak selepas pihak kerajaan bersetuju melaksanakan 18 perkara reformasi bermula sekarang hingga Julai tahun depan.

Sementara itu beliau berkata, semakin banyak pihak mula bercakap mengenai jurang pembangunan wilayah di antara Semenanjung Malaysia dengan Sabah dan Sarawak hanya kerana mereka memerlukan sokongan dan undi daripada kedua-dua negeri berkenaan.

“Dulu kalau ada yang bercakap mengenai hak-hak Sabah seperti 20 perkara dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dilabel sebagai “anti-Federal” dan pasti diambil tindakan mengikut Akta Keselamatan (Dalam Negeri- ISA).

“Syukur hari ini, di dewan yang mulia ini, sudah ada yang mencadangkan supaya kerajaan “pandang ke Borneo” supaya pembangunan di wilayah Borneo dapat ditingkatkan kepada rakan-rakan yang turut memperjuangkan hak Sabah dan Sarawak, saya ucapkan terima kasih atas keprihatinan itu.

“Namun bagi saya, memandang sahaja ke Borneo tidak cukup, kerajaan mesti juga mendengar denyutan nadi rakyat, terutama pandangan akar umbi dari wilayah Borneo.

“Sebab itu desentralisasi dalam tadbir urus persekutuan Malaysia amatlah penting dan untuk itu saya mencadangkan supaya salah satu daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang telah pun dipersetujui untuk ditambah di bawah MoU, ialah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Desentralisasi dan Majlis Urustadbir Persekutuan Negeri,” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *