Restoran, Medan Selera & Stesen Minyak Boleh Beroperasi Hingga Tengah Malam

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Kedai runcit, kedai serbaneka (convenience store), pasaraya mini (mini market) dan pasaraya (hypermarket) di Sabah dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kompleks membeli belah (hanya sub sektor yang telah dibenarkan beroperasi) juga dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 10.00 malam.

“Stesen minyak termasuk kedai serbaneka di stesen minyak dibenarkan beroperasi dari jam 5.00 pagi hingga 12.00 tengah malam.

“Pengusaha restoran termasuk di hotel, rumah kelab sukan dan rekreasi, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk juga dibenarkan beroperasi dari jam 6.00 pagi hingga 12.00 tengah malam,” kata Masidi yang juga Jurucakap Covid-19 Sabah dalam kenyataan media hari ini.

Semua ini berkuatkuasa pada 1 Oktober.

Sementara itu, mengenai isu pematuhan SOP dan ujian kendiri, Masidi mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan penjarakan sosial ketika dalam pandemik Covid-19. 

Dalam pada itu, katanya, individu yang bergejala, berisiko atau merupakan kontak rapat perlu menjalani saringan terutama bagi individu yang mempunyai ahli keluarga yang berisiko seperti warga emas, penyakit kronik dan komorbiditi serta kanak-kanak di bawah 12 tahun yang belum layak vaksin. 

“Langkah-langkah ini amat perlu bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.

Tentang pengecualian syarat lengkap bagi AstraZeneca bagi memasuki premis perniagaan, Masidi berkata, majikan boleh memohon pengecualian sementara kepada Pihak Berkuasa Tempatan dengan menyenaraikan nama kakitangan mereka yang terlibat, tarikh pengambilan dos pertama dan jadual tarikh pengambilan dos kedua.

Ini berkenaan ketetapan bahawa individu yang menerima dos pertama vaksin AstraZeneca boleh membuat permohonan pengecualian syarat lengkap vaksinasi bagi memasuki premis (untuk bekerja dan sebagainya).

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *