Penduduk Ingkar SOP Punca Dua Kluster Baharu Di Sabah Hari Ini

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU : Kewujudan dua kluster baharu iaitu Kluster Long Pasia di Sipitang dan Kluster Mokodou di Ranau menunjukkan masih ada penduduk ingkar dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta nasihat daripada pihak berkuasa dalam mengekang Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Long Pasia yang direkodkan hari ini tercetus daripada sambutan majlis hari jadi dihadiri penduduk kampung manakala Kluster Mokodou direkod pada Rabu tercetus daripada upacara pengebumian dan menghormati kematian.

Masidi Manjun

“Ini agak mengecewakan dalam usaha kita memerangi pandemik, kedua-dua kluster ini jelas menunjukkan masih ada penduduk kita yang tidak mematuhi SOP dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan secara serius.

“Kelalaian dan sikap acuh tidak acuh telah mengakibatkan jangkitan Covid-19 yang melibatkan ramai penduduk. Kluster Long Pasia melibatkan penularan 25 kes jangkitan manakala sebanyak 94 kes jangkitan dikesan dalam Kluster Mokodou,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berharap pegawai daerah, ketua masyarakat khususnya di peringkat akar umbi serta pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung memantau acara sosial di kampung bagi memastikan pematuhan ketat terhadap semua SOP.

“Kerjasama rakyat amat penting bagi membolehkan kita memenangi perang melawan pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, 993 kes Covid-19 direkodkan hari ini dan daripada jumlah itu 487 kes atau 49 peratus dikesan melalui saringan kontak rapat sekali gus kes daripada saringan kontak rapat tinggi itu menunjukkan terdapat ketidakpatuhan SOP dalam kalangan penduduk. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *