Sampai Masa Sabah Diberi ‘Autonomi Ekonomi’, Kata Salleh

Salleh Said Keruak turut menggesa Putrajaya supaya mewakilkan kepada kerajaan Sabah mana-mana kuasa berkaitan yang membabitkan keputusan kewangan dan pelaburan.

KUALA LUMPUR: Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah, Salleh Said Keruak menyokong penuh kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin yang memohon agar Sabah diberikan autonomi penuh ekonomi.

Melalui hantaran di laman Facebook miliknya, Salleh berkata, pemberian autonomi penuh kepada kerajaan Sabah dapat membuka ruang lebih luas kepada kerajaan negeri membuat keputusan penting bagi kepentingan rakyat negeri itu.

“Merujuk kepada kenyataan dibuat DBM terbaru di Parlimen, saya percaya sudah tibanya masa Sabah diberikan ‘autonomi ekonomi’.

“Berikan kerajaan Sabah kapasiti membuat keputusan bebas sendiri mengenai masa depan ekonominya,” katanya.

Beliau turut menggesa agar kerajaan tidak membuang masa, sebaliknya mewakilkan kepada kerajaan Sabah mana-mana kuasa berkaitan yang membabitkan keputusan kewangan dan pelaburan.

Semalam, Bung Mokhtar yang juga timbalan ketua menteri Sabah meminta kerajaan Persekutuan memberikan autonomi penuh kepada negeri itu sebagai persediaan merebut peluang ekonomi selepas kerajaan Indonesia mengumumkan pelbagai projek infrastruktur dan peluang perniagaan di Kalimantan.

Sebelum ini, Presiden Indonesia, Joko Widodo mencadangkan pusat pentadbiran negara itu dipindahkan dari Jakarta ke Kalimantan yang mendapat kritikan dan bantahan daripada rakyat negara terbabit. 0 FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *