Kontraktor Disyaki Tipu Bina Rumah, Akibatkan Kerugian RM43,000

Polis menahan kontraktor disyaki memperdaya seorang mangsa dalam urusan pembinaan rumah sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM43,000. – Foto PDRM

BEAUFORT: Seorang kontraktor diberkas, semalam, kerana disyaki memperdaya seorang mangsa dalam urusan pembinaan rumah sehingga mengakibatkan kerugian sebanyak RM43,000.

Suspek berusia 37 tahun itu berjaya ditahan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, kira-kira jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob, berkata hasil siasatan awal mendapati suspek didakwa membuat perjanjian dengan mangsa untuk pembinaan rumah berkeluasan 83 meter persegi pada Februari 2017.

Justeru, beliau berkata, suspek didakwa meminta mangsa membuat bayaran pendahuluan sebelum kerja pembinaan dapat dijalankan.

“Mangsa kemudian dikatakan membuat tiga transaksi bayaran deposit kepada syarikat milik suspek membabitkan nilai keseluruhan RM43,000.

“Namun selepas pembayaran itu dilakukan, kerja pembinaan rumah berkenaan didakwa tidak pernah dijalankan hingga kini,” katanya, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, mangsa dikatakan cuba menghubungi suspek untuk mendapatkan maklum balas tetapi gagal.

Susulan itu, beliau berkata, mangsa pergi ke pejabat suspek yang beralamat di Asia City, Kota Kinabalu, namun terkejut apabila mendapati pejabat terbabit tidak lagi wujud.

“Mangsa yang mengesyaki dirinya ditipu telah membuat laporan polis dan siasatan terus dijalankan sehingga suspek berjaya ditahan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *