Mangsa Banjir Di Sabah Terus Meningkat Malam Ini

KOTA KINABALU, 21 Sept : Sejumlah 54 mangsa banjir daripada 17 keluarga dipindahkan di dua daerah di negeri ini setakat malam ini berbanding 34 mangsa daripada lapan keluarga petang tadi, menurut kenyataan Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Sabah.

Sekretariat itu memberitahu 30 mangsa daripada 10 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Muhibah Kampung Tombo di Kota Belud dan 24 mangsa daripada tujuh keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Mini Mesapol di Sipitang.

Selain itu turut dilanda banjir beberapa kawasan di Daerah Kota Kinabalu, Penampang, Tuaran dan Beaufort, bagaimanapun sehingga kini masih tiada PPS dibuka di daerah berkenaan.

“Hujan lebat berterusan melibatkan beberapa daerah menyebabkan kenaikkan paras air di beberapa sungai menyebabkan banjir di beberapa kawasan ‘tumpuan’ dan beberapa jalan juga tidak dapat dilalui beberapa kenderaan.

Jumlah mangsa banjir ketika ini meningkat dan bantuan juga sedang diberikan…hujan lebat telah berhenti dan hujan gerimis masih berlaku di beberapa kawasan, bagaimanapun banjir masih kekal di paras sama malam ini,” menurut kenyataan itu malam ini.

Sementara itu, Beaufort dan Tuaran menjadi daerah terbaharu dilanda banjir petang tadi dengan di Beaufort lapan kawasan terjejas antaranya Kampung Bambangan, Kampung Sinoko dan Kampung Baitam Laut, manakala satu jalan iaitu Jalan Kampung Sindok hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Di Tuaran 18 kawasan terjejas banjir antaranya Kampung Paruh, Taman Telipok Jaya dan Pekan Tenghilan, manakala empat jalan terputus hubungan iaitu Jambatan Lama Tamparuli, Jalan Kampung Bahab, Jalan Kampung Paruh dan Jalan Kaulan.

Jumlah itu menjadikan keseluruhan 86 kawasan di enam daerah negeri ini dilanda banjir setakat malam ini, menurut sekretariat itu. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *