PBS Tolak Cadangan Perjanjian Baharu Ganti MA63

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak cadangan untuk melupakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan menggantikannya dengan perjanjian baharu di antara Kerajaan Pusat, Sabah dan Sarawak.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata cadangan itu bukan langkah yang betul untuk menyelesaikan isu berkaitan MA63 dan tuntutan mengenainya yang disuarakan kedua-dua negeri Borneo itu.

Katanya, cadangan menggantikan MA63 dengan perjanjian baharu tidak boleh dilaksanakan kerana MA63 menjadi rujukan penting dan asas untuk membincangkan isu yang memberi manfaat kepada kedua-dua negeri berkenaan.

“Kita perlu memahami bahawa MA63 dan Akta Malaysia juga dibentangkan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah serta Sarawak.

“Jika kita ingin merangka perjanjian baharu, perjanjian itu juga perlu dibentangkan di Parlimen dan kedua-dua DUN untuk persetujuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata demikian sebagai mengulas cadangan bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengenai perjanjian baharu dengan Putrajaya bagi menggantikan MA63.

Maximus berkata, Pandikar perlu memahami bahawa persekutuan memerlukan perjanjian sebagai titik rujukan asas.

“Maknanya, dalam hal ini, jika tiada MA63, maka tiadalah titik rujukan asas. Katakanlah jika anda tidak berpuas hati dengan perlembagaan persekutuan sedia ada, apa dokumen rujukan yang boleh anda gunakan untuk membahaskannya?” katanya.

Beliau tidak menafikan perjanjian baharu dengan Putrajaya perlu dibuat, namun katanya, ia mesti berdasarkan MA63 dan bukan untuk menggantikan perjanjian asal berkenaan.

Maximus turut menjelaskan, berdasarkan undang-undang, jika ada individu berdepan dengan rungutan, aduan atau pecah amanah, mereka berhak menolak sekiranya ia bercanggah dengan perjanjian yang ditandatangani.

“Oleh itu, pihak yang menghadapi isu ketidakpatuhan terhadap sebarang perjanjian boleh membuat aduan dan rayuan untuk tindakan selanjutnya. Sekiranya proses itu gagal, hanya dengan itu, anda boleh melupakan MA63 dan memilih proses perundangan atau demokrasi berpolitik.

“Namun, Malaysia masih memiliki pemimpin yang berfikiran waras, bukan hanya di peringkat Kerajaan Pusat tetapi juga di Sabah dan Sarawak, yang komited untuk memelihara, mengukuhkan dan memperbaharui Persekutuan Malaysia dan ia akan mengembangkan ideologi Sabah Maju Jaya dan Sarawak sebagai rakan sekutu persekutuan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *