Sabah Benarkan 300 Jemaah Solat Jumaat Di Masjid Utama

KOTA KINABALU : Kerajaan Sabah hari ini membenarkan seramai 300 jemaah untuk solat Jumaat di Masjid Utama negeri ini berkuatkuasa hari ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata masjid utama tersebut ialah Masjid Negeri Sabah, Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Masjid Nurul Hikmah di sini dan semua masjid-masjid daerah di negeri itu.

Beliau berkata jemaah solat Jumaat di Masjid Kariah ditetapkan seramai 200 orang, dan solat Jumaat di surau pula ditetapkan seramai 50 jemaah.

“Solat Fardhu pula bilangan jemaah yang dibenarkan di Masjid Utama ialah 150 orang. Bagi Masjid Kariah dan Surau hanya 50 jemaah yang dibenarkan. Keutamaan diberi kepada jemaah yang telah lengkap menerima dua dos vaksin,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Aktiviti-aktiviti merangkumi kuliah Maghrib antara waktu Maghrib dan Isyak serta Solat Jenazah dibenarkan.

“Turut dibenarkan pengurusan jenazah dan ziarah kubur masing-masing berjumlah 20 orang. Bagi majlis akad nikah di masjid atau surau, bilangan yang dibenarkan 20 orang di dewan atau bilik khas tertakluk mengikut keluasan dan kebenaran jawatankuasa,” katanya lagi.

Mengulas mengenai kes COVID-19, Masidi berkata 1,533 kes positif COVID-19 direkodkan hari ini dengan jumlah kumulatif 182,826 kes dan bilangan pesakit sembuh 3,300 orang dengan jumlah kumulatif 156,727 orang, manakala 4,226 pesakit masih dalam rawatan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *