Pemandu & Penumpang Maut Van Langgar Belakang Lori Di Kinabatangan

Van terlanggar lori yang rosak di Jalan Lahad Datu ke Sandakan, kira-kira jam 11.25 malam tadi. – Foto BOMBA

KINABATANGAN: Dua lelaki maut selepas van mereka terlanggar belakang lori treler dalam kemalangan di Jalan Lahad Datu ke Sandakan, berdekatan Simpang Estet Kertam, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.25 malam itu, pemandu dikenali sebagai Muhammar Ghadafi Abdul Ghafar, 38 dan penumpangnya, Mohd Ridzuan Madarup, 42, dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamalludin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.30 malam dan bergegas ke tempat kejadian bersama enam anggota.

Katanya, van pelancongan berkenaan dalam perjalanan dari Semporna ke Kota Kinabalu terlanggar belakang lori treler 10 tan.

“Pemeriksaan mendapati, terdapat dua mangsa lelaki tersepit dalam van dan anggota bomba mengeluarkan mereka dalam masa 40 minit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia dan mayat dua lelaki itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail, berkata, punca kejadian dipercayai van dipandu laju dan melanggar belakang treler yang rosak.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *