Wanita Maut Tercampak Keluar Dari Kenderaan Dipandu Ibu

Kenderaan dinaiki mangsa yang terbalik selepas bertembung dengan sebuah lagi kereta di Kilometer 11, Jalan Tenom-Keningau dekat Tenom, semalam.

TENOM: Penumpang wanita maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dipandu ibunya dalam kemalangan di Kilometer 11, Jalan Tenom-Keningau dekat sini, semalam.

Dalam kejadian pada 5.30 petang itu, mangsa berusia 25 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di badan dan kepala.

Ibu mangsa yang berusia 54 tahun pula turut mengalami kecederaan dan kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Tenom.

Ketua Polis Daerah Tenom Deputi Superintendan Hasan Majid berkata, kemalangan itu membabitkan Proton Iswara dan Perodua Myvi.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua kenderaan itu bertembung hingga menyebabkan penumpang Proton Iswara tercampak keluar dari keretanya.

“Pemandunya pula dipercayai mengalami kecederaan dalaman dan terus dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Pemandu Perodua Myvi bersama anaknya tidak mengalami kecederaan serius dan dirawat sebagai pesakit luar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sebelum itu, satu video kejadian kemalangan berdurasi satu minit lapan saat itu tular di media sosial.

Rakaman berkenaan memaparkan sebuah kenderaan terbalik di tepi jalan dan seorang mangsa terbaring dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *