Pendakian Gunung Kinabalu Dibuka Semula

Keindahan Gunung Kinabalu, gunung tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara dan boleh dilihat di seluruh kawasan Kadamaian merupakan antara tarikan utama pelancong.

KOTA KINABALU: Selepas ditutup lebih tiga bulan, aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu di Ranau dibuka semula hari ini selaras kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) untuk sektor pelancongan.

Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim dalam satu kenyataan berkata, aktiviti itu bagaimanapun terhad kepada pendaki yang sudah lengkap divaksin Covid-19 dan berasal dari daerah sama.

Katanya, pendaki juga mesti berusia antara 12 tahun hingga 70 tahun selaras dengan semakan terbaharu SOP fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi negeri Sabah.

Beliau berkata, selain pendakian di gunung tertinggi Asia Tenggara itu, Taman-Taman Sabah turut membuka semula pejabat dan stesen taman di seluruh negeri.

“Semua dibuka mulai 16 September, kecuali Taman Pulau Penyu di Sandakan yang akan dibuka mulai 20 September.

“Pulau Bohey Dulang di Taman Marin Tun Sakaran, Semporna dan Stesen Kimanis, Taman Banjaran Crocker pula akan dibuka pada satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian.

“Walau bagaimanapun, hanya pelawat atau pendaki yang lengkap divaksinasi, tinggal di daerah yang sama dan berumur di atas 12 tahun serta di bawah 70 tahun dibenarkan masuk ke destinasi berkenaan dengan had pelawat seramai 100 orang sehari bagi setiap destinasi,” katanya.

Katanya, semua aktiviti dalam taman tertakluk kepada SOP pengoperasian Taman-Taman Sabah PPN fasa kedua berdasarkan kemas kini pada 11 September lalu. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *