Lelaki OKU Hanyut Diselamatkan

Lokasi mangsa lelaki OKU hanyut sebelum diselamatkan orang awam yang menyedari keberadaan mangsa. – Foto BOMBA

PENAMPANG: Lelaki orang kurang upaya (OKU) yang hanyut dibawa arus banjir diselamatkan orang awam di Kampung Kudou, di sini, semalam.

Dalam kejadian pada 4.45 petang, mangsa Chong Chee Sen, 61, dikatakan hanyut ketika keluar dari rumahnya sebelum diselamatkan orang awam selepas hampir tiga jam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5.57 petang.

Katanya, sepasukan lima anggota dan pegawai dihantar ke lokasi bersama sebuah bot untuk bantuan menyelamat.

“Pasukan bomba terus bergerak ke lokasi serta memulakan operasi mencari dan menyelamatkan mangsa.

“Bagaimanapun, kita menerima laporan mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam pada 7.57 malam (semalam),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi kemudian ditamatkan pada 8.50 malam selepas mangsa disahkan berada dalam selamat. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *