KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer (PH) diarah keluar dewan selepas mengeluarkan perkataan tidak sempurna dalam sidang yang dituju kepada Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.
Arahan itu dikeluarkan sendiri oleh Rashid selepas Rayer enggan menarik balik kenyataan ‘memalukan’ yang dituju kepada Rashid, selepas diminta untuk berbuat demikian.
“Jelutong, saya arahkan bentara minta Jelutong keluar sekarang. Saya minta bentara jalankan tugas keluarkan Jelutong sekarang.. (selama) dua hari (tidak dibenarkan hadir ke dewan),” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Keadaan itu mencetuskan pertikaian dalam kalangan Ahli Parlimen pembangkang yang bangun mempersoalkan penggunaan perkataan berkenaan yang disifatkan mereka ‘tiada masalah’, sekali gus menyebabkan dewan menjadi kecoh sebelum Rashid memutuskan supaya sidang ditangguhkan untuk rehat.
Dalam kececohan itu, Rayer bangun dan berkata kepada Rashid supaya tidak menyalahguna kuasanya dan ia memalukan.
“Timbalan speaker, jangan salah guna kuasa. People are watching you (rakyat memerhati). Memalukan,”
“Timbalan speaker.. saya tidak akan tarik balik, itu satu tindakan memalukan. Tindakan Timbalan Speaker bukan saja memalukan di luar dewan tapi di dalam dewan,” kata Rayer menyebabkan Rashid ‘naik angin’ dan mengarahkan Rayer menarik balik perkataan ‘memalukan’.
Siri pertikaian dalam dewan berlanjutan lebih 20 minit selepas Ahli Parlimen pembangkang mempersoalkan keputusan dibuat Rashid yang menolak semua usul bagi mengganti Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, yang dikemuka Ahli Parlimen pembangkang sebelum ini.
Terdahulu, Rashid ketika menjelaskan perkara berkenaan memaklumkan, sudah diberi ‘kuasa’ oleh speaker untuk mengendalikan usul mengosongkan kerusi Speaker Dewan Rakyat itu.
“Ada 11 usul datang serentak dari Parti Amanah Negara (Amanah), kemudian datang dari satu lagi dan yang ke-12 ini tidak menepati peraturan selepas saya merujuk kepada penasihat undang-undang.
“Kemudian datang dua (usul sama) dari PKR pun sama juga (tidak menepati peraturan). Maka setiap yang memberikan usul berkenaan, sudah saya jawab secara bertulis. Sila baca jawapan berkenaan dan keputusan saya muktamad dan tidak ada rayuan,” katanya ketika menjelaskan mengenai sebab usul itu ditolak di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, ketika Azhar mempengerusikan sesi persidangan itu, Ahli Parlimen pembangkang mengasaknya meminta beliau mengemukakan sebab dan penjelasan mengapa usul itu ditolak, dengan beliau kemudian memaklumkan ia sudah pun dikendali dan diputuskan oleh Rashid.
Azhar Azizan sebelum ini menjelaskan beliau tidak masuk campur mengenai perkara itu kerana tidak mahu ada kepentingan.
Keadaan itu memaksa Azhar Azizan memanggil Rashid untuk mengendalikan sesi itu dan menyelesaikannya. – BH Online
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost