PM Dijadual Hadir Sambutan Hari Malaysia

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dijadual hadir pada sambutan Hari Malaysia Ke-58 yang diadakan secara sederhana mengikut prosedur operasi standard yang (SOP) ditetapkan, di sini, Khamis ini.

Sambutan dengan kehadiran terhad yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu turut dijadual dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni.

Pengerusi Bersama Sambutan Hari Malaysia 2021, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg turut dijadual hadir.

Bung Moktar berkata, Sabah menjadi tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada tahun ini dan ia tetap diadakan walaupun masih berdepan pandemik COVID-19, sejajar kepentingannya dalam sejarah pembentukan negara.

“Hari Malaysia yang kita raikan pada 16 September setiap tahun tidak kurang pentingnya dengan sambutan Hari Kebangsaan dan ia perlu dijiwai oleh seluruh rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan ideologi politik. Mentaliti segelintir rakyat yang masih tidak peduli signifikan Hari Malaysia perlu diubah.

“Sambutan Hari Malaysia bukan sekadar memperingati penubuhan Malaysia, malah rakyat di Sabah dan Sarawak sudah tentu menginginkan sesuatu yang lebih signifikan dalam konteks pembinaan negara bangsa dengan menitikberatkan kepentingan dan peranan kedua-dua negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Turut dijadual hadir pada sambutan itu nanti ialah Menteri Komuniaksi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata pemilihan Sabah sebagai tuan rumah sambutan Hari Malaysia pada tahun ini penting dalam usaha mengukuhkan hubungan negeri dan Pusat sejajar perubahan kepemimpinan kerajaan persekutuan yang kini diketuai Ismail Sabri.

“Hubungan kerajaan persekutuan dan negeri serta urus tadbir yang baik akan menjadi aspek penting dalam memastikan segala perancangan pembangunan dan pentadbiran kerajaan berjalan dengan baik,” katanya.

Katanya, sambutan Hari Malaysia juga diharap dapat memberi kesedaran kepada generasi muda mengenai kepentingan hari bersejarah itu dalam pembangunan negara.

Beliau berkata, antara pengisian sambutan Hari Malaysia pada Khamis ini ialah Majlis Menandatangani Buku Khas Sambutan Hari Malaysia 2021, tayangan montaj dan persembahan khas Malaysia Prihatin oleh artis Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost