Sabah Setuju Agensi Nombor Ramalan, Kelab Lumba Kuda Beroperasi Mulai Hari Ini

Agensi nombor ramalan dan kelab lumba kuda di Sabah dibenarkan beroperasi mulai esok, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, Sabah bersetuju membenarkan agensi nombor ramalan dan kelab lumba kuda beroperasi, mulai hari ini.

Katanya, keputusan itu selaras dengan kelulusan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) untuk membenarkan
operator perjudian yang dilesenkan oleh kementerian berkenaan dan kelab lumba kuda di bawah Lembaga Totalisator Malaysia untuk beroperasi mulai 15 Sep.

“Kerajaan negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah (Covid-19) telah bersetuju  membenarkan agensi nombor ramalan dan kelab lumba kuda beroperasi mulai 14 Sep.

“Bagaimanapun, adalah diingatkan bahawa semua pekerja dan pelanggan untuk aktiviti ini hendaklah telah lengkap divaksin dan berstatus risiko rendah Covid-19 melalui aplikasi MySejahtera,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19 Sabah, hari ini.

Terdahulu Masidi berkata, 1,649 lagi kes baharu dicatatkan negeri itu, hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kini sebanyak 175,512 kes.

Selain itu, katanya, 39 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu enam di Sandakan dan Tawau, lima di Kota Belud dan Tuaran, empat di Kota Kinabalu, dua di Lahad Datu dan Papar, manakala Sipitang, Kudat, Kinabatangan,
Kunak, Pitas, Keningau, Penampang, Kalabakan dan Beluran masing-masing mencatatkan satu kes.

“Bilangan kematian ini tidak semestinya berlaku dalam tempoh 24 jam ini.

“Ada kes kematian yang mengambil masa untuk verifikasi dan dilaporkan kemudian daripada tarikh sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata 2,085 pesakit telah sembuh dan discaj daripada hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), hari ini.

Katanya, 4,613 pesakit masih menerima rawatan iaitu 1,565 orang di hospital, 2,976 orang di PKRC awam, 62 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) atau penjara manakala 10 orang di fasiliti swasta.

“Bilangan pesakit yang memerlukan penjagaan kritikal ialah 210 orang merangkumi 126 di ICU, ‘repurposed kritikal care’ serta 84 di ‘open ward’ dan 71 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated),” katanya. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost