Sabah Kuat Kuasa SOP Lengkap Vaksin Mulai 21 Sept

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melanjutkan tempoh untuk mula menguatkuasakan sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) lengkap vaksin Covid-19 dalam sektor perdagangan dan pengedaran selama seminggu lagi kepada 21 September ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, SOP baharu itu sepatutnya dikuatkuasakan mulai 15 September ini selepas tempoh sebulan diberikan kepada semua pihak untuk melengkapkan dua dos vaksin seperti dimaklumkannya bulan lalu.

Beliau berkata, perubahan tarikh kuat kuasa SOP itu diputuskan selepas mengambil kira kadar vaksinasi lengkap populasi dewasa di Sabah ketika ini yang baru mencapai 52 peratus.

“Sehubungan itu, orang ramai termasuk peniaga dan pekerja mereka diingatkan supaya memastikan SOP itu dipatuhi sepenuhnya mulai 21 September ini.

“Orang ramai diingatkan sekali lagi bahawa semua pekerja dan pelanggan bagi semua sektor perdagangan dan pengedaran, restoran serta pasar raya hendaklah sudah lengkap divaksinasi atau sudah menerima dua dos vaksin.

“SOP ini pada mulanya diumumkan untuk mula dikuatkuasakan mulai 15 September ini, tetapi berikutan tahap vaksinasi seluruh Sabah sehingga ke hari ini baru mencapai 52 peratus populasi dewasa, tarikh kuat kuasa dianjakkan ke 21 September, iaitu tarikh sasaran Sabah mencapai tahap vaksinasi lengkap 60 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, perubahan itu turut mengambil kira kelewatan pekerja sektor perdagangan dan pengedaran, restoran serta pasar raya untuk menerima dos kedua vaksin Covid-19 khususnya penerima vaksin AstraZeneca.

Menurutnya, majikan boleh memohon pengecualian sementara kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan menyenaraikan nama kakitangan terbabit dan tarikh pengambilan dos pertama serta dos kedua.

Katanya, apabila SOP itu dikuatkuasakan, hanya pelanggan, pekerja dan kakitangan lengkap vaksin Covid-19 dibenarkan memasuki premis seperti restoran dan pasar raya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *