Akibat Dendam, Mayat Lelaki Ditemukan Terapung Di Pulau Bohey Dulang

Mayat mangsa yang ditemukan terapung di pesisir pantai Bohey Dulang semalam (gambar kiri) dan Ketua Polis Daerah, Superitendan Mohd. Farhan Lee Abdullah (kanan). – Foto PDRM

SEMPORNA: Mayat seorang lelaki dalam keadaan tertiarap dijumpai dengan kesan luka di leher serta kepala di pesisir pantai Pulau Bohey Dulang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, lelaki dikenali sebagai Tendang Sampulatik, 40, itu ditemukan orang awam yang kemudian menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Semporna pada 4.42 petang.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Semporna dan dikenal pasti oleh isterinya yang sebelum itu membuat laporan pada 11.15 pagi semalam, mengenai mangsa dibawa lari oleh tiga lelaki menuju ke Pulau Boheyan.

“Berdasarkan aduan, mangsa dibawa lari pada Khamis lalu (9 Sept) dalam 7 malam ketika sedang memancing di atas perahu bersama anak, isteri serta ibu mentua (di perairan Pulau Bum Bum di sini),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketika kejadian perahu mereka dilanggar sebuah bot dinaiki tiga suspek dan salah seorang suspek memukul mangsa sehingga terjatuh ke laut sebelum melarikan suspek ke Pulau Boheyan.

Mohd Farhan berkata, siasatan masih dijalankan berhubung penemuan mayat dan aduan yang diterima dan kes terbabit disyaki berpunca daripada dendam.

Katanya, isteri mangsa yang tinggal di Kampung Labuan Haji, Pulau Bum Bum mengenali semua suspek dan berikutan itu polis giat mengesan dua suspek masing-masing berusia 40 tahun dan 50 tahun yang tinggal di Pulau Boheyan.

Beliau berkata, kesemua suspek dipercayai melarikan ke sempadan Filipina dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Orang awam yang mempunyai maklumat tentang kejadian serta suspek agar menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Arif Abd Razak di talian 088-454464. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *