Saya Sokong Ismail Jadi PM Kerana Tak Mahu PH & Kleptokrat Tawan Putrajaya, Kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin menempelak tuduhan kerajaan pimpinannya sebelum ini “gagal” dan berkata sokongannya untuk Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri bertujuan menghalang Pakatan Harapan kembali menerajui negara dengan sokongan kumpulan kleptokrat.

KUALA LUMPUR: Muhyiddin Yassin malam ini menempelak tuduhan kerajaan pimpinannya sebelum ini “gagal” dan berkata sokongan beliau untuk Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri bertujuan menghalang Pakatan Harapan kembali menerajui negara dengan sokongan kumpulan kleptokrat.

Dalam ucapan sempena ulang tahun Bersatu ke-5, Muhyiddin selaku presiden parti, menegaskan kerajaan pimpinannya selama 17 bulan berjaya mengekang pandemik Covid-19, meskipun dituduh sebaliknya.

Beliau berkata kadar vaksinasi tinggi dan pembukaan semula pelbagai sektor ekonomi serta penurunan mendadak jumlah pesakit ketika ini membuktikan kejayaan kerajaan terdahulu yang dipimpinnya.

“Rakyat mula menarik nafas lega kerana mereka sudah boleh mula bekerja, berniaga dan mencari sumber pendapatan.

“Tetapi masih ada pihak yang kata kita gagal. Kita sebenarnya tidak gagal. Mereka yang nak lihat kita gagal. Kerana itu, semasa kita sibuk mengurus Covid, mengurus kebajikan rakyat, mereka sibuk berkomplot untuk menjatuhkan kerajaan,” kata Muhyiddin.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin tumbang bulan lalu apabila 15 Ahli Parlimen Umno termasuk Presidennya Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak menarik balik sokongan terhadap beliau.

Ketika itu, Muhyiddin berkata kejatuhannya didalangi individu yang gagal mendesak beliau campur tangan dalam kes-kes mahkamah mereka.

Dalam ucapannya malam ini, Muhyiddin berkata beliau mengambil keputusan untuk menyakinkan sekutu-sekutu parti politiknya memberi sokongan kepada Ismail menggantikannya sebagai Perdana Menteri.

“Apa jadi kalau saya dan semua Ahli Parlimen Bersatu tidak mengambil apa-apa pendirian dalam pemilihan Perdana Menteri yang baharu dan pembentukan kerajaan selepas itu?

“Pertama, keadaan politik negara akan terumbang-ambing kerana suasana pada ketika itu menunjukkan tidak ada sesiapapun yang mendapat sokongan majoriti.

“Kedua, Pakatan Harapan dengan sokongan kumpulan kleptokrat berkemungkinan kembali menjadi Kerajaan dan Bersatu menjadi pembangkang.

Muhyiddin berkata atas dua faktor itu, beliau berbincang dengan Ahli-ahli Parlimen Bersatu dan parti komponen Perikatan Nasional termasuk PAS dan GPS supaya mencalonkan Ismail sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Beliau berkata pelantikan Ismail membolehkan Bersatu dan parti komponen PN terus berada dalam kerajaan untuk meneruskan usaha-usaha memulihkan negara.

Beliau yakin apabila pilihan raya umum dapat diadakan dengan selamat dan mandat “PN dan saya sebagai Pengerusinya akan mengambil bahagian dalam Pilihanraya (dan) InsyaAllah, dengan izin Allah dan sokongan rakyat, ‘we will make a comeback’! (kita akan kembali berkuasa). – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost