Tahanan Wanita Filipina Cetus ‘Rusuhan Kecil’ Di Depot Imigresen

Timbalan Pengarah Imigresen Sabah (Operasi) Masri Adul berunding dengan tahanan yang mencetuskan ‘rusuhan kecil’ di Depoh Tahanan Imigresen Kota Kinabalu, hari ini.

KOTA KINABALU: Kecewa disebabkan proses penghantaran pulang tertangguh, kira-kira 400 tahanan terlibat “rusuhan kecil” di depot imigresen di sini, hari ini.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira 6.30 pagi itu semua penghuni dipercayai warga Filipina hanya dapat meloloskan diri dari lokap, namun tidak berjaya melepasi pagar lokap itu.

Timbalan Pengarah Imigresen Sabah (Operasi), Masri Adul berkata, siasatan awal mendapati kejadian bermula dari blok yang menempatkan tahanan wanita.

Beliau berkata, sekumpulan tahanan dilaporkan mendakwa mereka berada dalam “tekanan” dan memohon dihantar pulang segera.

“Provokasi terbabit didengar tahanan lelaki yang berada di berhadapan blok tahanan wanita mencetuskan rusuhan kecil,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, tiga tahanan lelaki berjaya merosakkan kunci mangga lokap.

Masri berkata, pegawai imigresen segera melaporkan kejadian kepada polis termasuk memaklumkan kepada ibu pejabat imigresen Sabah bagi bantuan susulan.

Katanya, seramai 70 anggota polis dan 40 penguat kuasa imigresen digegaskan ke kawasan kejadian.

“Rusuhan itu akhirnya berjaya dikawal menerusi rundingan oleh saya dan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Mohd Zaidi Abdullah,“ katanya.

“Kami menjelaskan kepada tahanan berkenaan situasi sebenar dan mengapa proses penghantaran pulang ditangguhkan.

“Kami memaklumkan penangguhan itu berlaku susulan permintaan kedutaan Filipina disebabkan beberapa perkara, termasuk risiko penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, rundingan terbabit berlangsung selama hampir sejam sebelum tahanan akhirnya bersetuju kembali semula ke lokap masing-masing.

Katanya, polis akan menempatkan 30 anggota di depoh berkenaan selama beberapa hari untuk tujuan pemantauan. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *