21,176 Kes Positif Baharu Covid-19, 341 Kematian

Dr Noor Hisham Abdul

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 21,176 kes baharu Covid-19 dan 341 kematian dalam tempoh 24 jam lalu, manakala 21,476 pesakit sembuh.

Ini menjadikan keseluruhan 1,678,962 daripada 1,940,950 pesakit Covid-19 sudah pulih, sementara 19,827 lagi meninggal dunia akibat virus itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, terdapat 242,161 kes aktif, dengan 773 daripada 1,310 kes pesakit di Unit Rawatan Rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, Sarawak terus mencatatkan jumlah jangkitan harian tertinggi dengan 3,734 kes, iaitu hari keenam berturut-turut ia melepasi 3,000 kes.

Ia juga rekod tertinggi bagi Sarawak berbanding rekod terdahulu 3,714 kes yang dicatatkan pada 6 Sept lalu.

Ini disusuli Selangor (3,595), Johor (2,297), Sabah (2,246), Pulau Pinang (1,939), Kedah (1,808), Perak (1,366), Kelantan (1,254), Pahang (853), Terengganu (776), Melaka (485), Kuala Lumpur (467), Negeri Sembilan (252), Perlis (77), Putrajaya (21) dan Labuan (6).

Daripada jumlah kes baharu itu, Hisham berkata, hanya empat kes import, manakala 21,172 kes penularan tempatan membabitkan 18,608 warganegara serta 2,564 warga asing.

Daripada 341 kematian itu, 300 ialah warganegara dan 41 warga asing, dengan semua kecuali 80 orang mempunyai sejarah penyakit lain, manakala 102 orang meninggal dunia di luar hospital.

Katanya, kadar kebolehjangkitan Covid-19 negara ialah 0.97 setakat semalam.

Sarawak terus mencatatkan R-nought tertinggi pada 1.15, disusuli Terengganu (1.09), Perlis (1.09), Pulau Pinang (1.05), Perak (1.03), Johor (1.02), Kelantan (1.02), Pahang (1.01), Putrajaya (1.00), Kedah (0.97), Sabah (0.93), Melaka (0.92), Selangor (0.83), Kuala Lumpur (0.81) dan Negeri Sembilan (0.80).

Sementara itu, beliau juga memaklumkan UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) telah mengenal pasti 44 kes varian baharu virus SARS-CoV-2.

Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC) pula mengenal pasti sebanyak 59 kes yang kesemuanya adalah Variant of Concern (VOC) iaitu varian Delta (B.1.617.2).

Hisham berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 1,324 kes.

“Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 1,304 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI.”

Tambahnya, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 1,081 kes varian Delta, 209 kes varian Beta dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat (4) kes varian Kappa, dan tiga (3) kes varian Eta. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *