Golongan Remaja Diberikan Vaksin Pfizer – KJ

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin . – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Vaksinasi kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun akan menerima vaksin jenis Pfizer. 

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu telah diberi kelulusan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) Covid-19 yang akan dimulakan Sarawak terlebih dahulu.

“Sarawak akan bermula hari ini dengan remaja berumur 16-17 tahun dan 12-15 tahun yang berisiko tinggi (tanpa keadaan kesihatan yang kronik),” katanya dalam Twitter beliau hari ini.

Khairy turut memaklumkan, vaksinasi untuk golongan berkenaan akan disusuli Labuan dan Lembah Klang apabila negeri-negeri terbabit mencapai tanda aras 80 peratus vaksinasi dalam kalangan dewasa.

Khairy  semalam mengumumkan kumpulan pertama daripada 76,400 remaja di Sarawak akan menerima suntikan vaksin Covid-19 terdiri daripada mereka yang berumur 16 dan 17 tahun serta mereka yang berumur 12 hingga 15 tahun yang mempunyai penyakit berisiko tinggi seperti masalah berkaitan dengan sistem imunisasi.

Selepas kumpulan ini, vaksin akan diberikan secara berperingkat kepada mereka yang berusia 14 dan 15 tahun, diikuti oleh mereka yang berusia 12 hingga 13 tahun.

Vaksinasi itu adalah antara dasar yang dipersetujui oleh JKJAV yang sejajar dengan kelulusan yang ditetapkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk penggunaan vaksin Pfizer bagi golongan remaja.

Khairy turut memaklumkan semalam, keputusan pemberian suntikan vaksin Covid-19 terhadap pelajar sekolah pula akan dimuktamadkan dalam satu mesyuarat penyelarasan melibatkan antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan pada Khamis ini.

Beliau berkata, selain suntikan vaksin kepada pelajar sekolah, terdapat cadangan lain berkenaan pendidikan dan kesihatan ketika menghadapi cabaran Covid-19 dengan turut akan dibincangkan pada mesyuarat itu, namun beliau tidak mengulas lanjut mengenai cadangan tersebut. – Utusan Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *