Myvi Hanyut: Operasi Hari Ketiga Tamat Tanpa Sebarang Penemuan

KOTA KINABALU: Operasi mencari dan menyelamat hari ketiga tamat pada jam 5.26 petang, hari ini, selepas pencarian dijalankan menyusuri Sungai Kionsom, Inanam, sepanjang 6.4 kilometer.

Operasi membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM Pangkalan Sabah itu dihentikan atas faktor keselamatan berikutan cuaca semakin gelap.

Namun setakat ini, operasi pencarian masih gagal menemui mangsa atau sebarang petunjuk yang boleh dikaitkan dengan mangsa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, fokus pencarian hari ini adalah membabitkan lokasi timbunan dahan kayu dan sampah-sarap di sungai.

Katanya, operasi turut dijalankan dengan membuat pencarian menyusuri tebing sungai yang dijalankan pasukan elit Tiger Platoon Pasukan Gerakan Am (PGA).

“Pencarian dijalankan dengan memfokuskan kawasan sungai terhadap kemungkinan mangsa tersangkut di dasar ataupun timbunan dahan di sungai.

“Operasi hari ini juga dibantu oleh unit dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) PDRM bagi memantau keadaan sungai dan persekitarannya menerusi udara,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, Pasukan Polis Marin juga dikerah membuat pemantauan di kawasan laut terbuka namun setakat ini, operasi masih belum dapat menemui mangsa.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, operasi hari ini dibantu oleh Unit K9 anjing pengesan JBPM.

Katanya, ia menumpukan kawasan longgokan sampah sarap dan dahan serta daun-daun pokok yang terapung di beberapa lokasi sepanjang sungai berkenaan.

“Pasukan penyelamat juga memfokuskan kepada lubuk di dasar sungai yang mungkin menyebabkan mangsa terperangkap dalam pusaran air.

“Pasukan bomba juga akan merancang strategi baru untuk dilaksanakan dalam operasi seterusnya,” katanya. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *